Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Wan Zahari Wan Busu berkata, ibu mangsa, Wan Maziah Wan Mat, 37, memberitahu anaknya, Nur Syaminn Nabila Mohd. Shapawi dilaporkan hilang selepas pulang membeli buku sekolah adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Gali pada pukul 11 pagi.

“Gadis berkenaan ke sekolah menaiki motosikal kira-kira tiga kilometer dari rumah. Apabila tiba di hadapan rumah, datang seorang lelaki menaiki kereta dan mengaku sebagai anggota polis di Balai Polis Sungai Ruan.

“Suspek meminta mangsa menolongnya mengambil motosikal di pekan Sungai Ruan. Mangsa kemudian menaiki kereta bersama suspek dan tidak pulang ke rumah,” katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Zahari, mangsa menghubungi keluarganya kira-kira pukul 3 petang semalam dan memaklumkan berada di Gua Musang, Kelantan sebelum talian diputuskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dan menyamar sebagai penjawat awam,” katanya. - UTUSAN ONLINE