The Equanimity yang dipercayai milik ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low itu dijangka berlabuh pada pukul 12 tengah hari.

Menurut laman penjejak kapal, Vessel Finder, The Equanimity telah merentas perairan Batam, Indonesia di antara pukul 5.21 dan 5.29 petang ini.

Difahamkan, kapal polis marin KPD Setia mengiringi The Equanimity dari Batam, Indonesia dan kedua-dua kapal telah melabuhkan sauh kira-kira 3.6 kilometer dari perairan Pengerang, Johor pada pukul 6 petang.

‘Kepulangan’ kapal mewah bernilai AS$250 juta (RM1 bi­lion) itu dinanti-nantikankan setelah kerajaan Indonesia ber­setuju untuk menyerahkannya kepada Malaysia selepas menahannya di Bali awal tahun ini.

Kapal The Equanimity ditahan pada Februari atas permintaan pihak berkuasa Ame­rika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah bernilai berbilion dolar yang dilancarkan oleh Jabatan Kehakiman terhadap 1MDB.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir hari ini mengesyor­kan kepada mana-mana pi­hak yang mendakwa kapal mewah The Equanimity yang ditahan kerajaan Indonesia di Bali awal tahun lalu itu milik mereka untuk tampil membuat tuntutan hak ke atasnya.

Beliau berkata, penuntut boleh menunjukkan bukti pe­milikan ke atas The Equanimity sekali gus membantu kerajaan membuktikan bahawa kapal mewah itu tidak dibeli dengan wang yang dicuri daripada Malaysia oleh pihak-pihak tertentu.