Asmawati Ahmad
Asmawati Ahmad

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad berkata, malah sejak kebelakangan ini, pihaknya menerima banyak aduan mangsa yang tertipu dengan sindiket dari Taiwan dan China itu yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong selain panggilan tempatan.

Jelasnya, Macau Scam melibatkan empat kategori modus operandi iaitu cabutan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, teknik spoofing (alat penyamaan nombor talian pemanggil) sebagai pegawai polis atau agensi kerajaan serta sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) atau bank komersial.

“Bagi cabutan bertuah, pe­ngadu menerima panggilan telefon yang mendakwa mangsa telah memenangi pertandingan cabutan bertuah bernilai jutaan dolar dari syarikat Hong Kong atau Macau. Pemanggil kemudiannya memberi nombor telefon untuk dihubungi sekiranya mahu me­nuntut hadiah berkenaan.

“Setelah bersetuju, pengadu dikehendaki membayar cukai dan insurans dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun tertentu bagi menuntut hadiah tersebut. Setelah transaksi selesai, pemanggil gagal dihubungi dan wang hadiah yang dijanjikan tidak diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Asmawati berkata, bagi penipuan penyamaran sebagai pegawai polis dan agensi kerajaan pula, pengadu menerima panggilan dari individu yang mengaku sebagai pegawai mahkamah atau polis dan mendakwa bahawa mangsa terlibat dalam kegiatan haram seperti ah long, kongsi gelap dan pengedaran dadah.

Jelas beliau, mangsa kemudiannya diminta untuk memindahkan wang dari akuannya ke dalam akaun tertentu kononnya bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan oleh pihak berkuasa.

“Teknik yang sama digunakan bagi penyamaran sebagai pegawai bank atau BNM kononnya mangsa gagal menjelaskan bayaran kad kredit dan kononnya akan disenarai hitam jika tidak memindahkan wang kepada akaun tertentu se­perti diarahkan sindiket,” ujarnya.

Tambahnya, selain itu, sindiket itu turut menggunakan muslihat meminta wang tebusan dengan membuat panggilan kepada mang­sa mendakwa anak atau anggota keluarga mangsa diculik sebelum mengarahkan mangsa memindahkan wang ke akaun sindiket.

Sehubungan itu, Asmawati menasihatkan orang ramai jangan sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemang­gil tanpa melakukan pemeriksaan dengan menghubungi polis atau institusi kewangan.

“Jangan hubungi semula nombor telefon yang diterima, sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut.

“Mangsa juga dinasihatkan untuk tidak mendedahkan nombor akaun bank, nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) atau kad kredit kepada orang tidak dikenali dan melayari portal rasmi BNM untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan seumpamanya,” ujarnya.

Di samping itu, beliau turut memohon kerjasama masyarakat yang menjadi mangsa penipuan tersebut untuk membuat laporan polis agar tindakan lanjut dapat diambil.