Kesemua yang ditahan melibatkan 19 lelaki dan enam wanita dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak tahun lalu dengan menyasarkan warga tempatan selain Jepun, Indonesia, Amerika Syarikat, Filipina dan China.

Penahanan mereka yang berusia 21 hingga 40 tahun yang merupakan warga Nigeria, Tanzania dan Thailand itu mempunyai kaitan dengan 10 kes tersebut dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM500,000.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis gajet, telefon bimbit serta komputer yang digunakan untuk berhubung sebelum memperdayakan mangsa.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati terdapat 1,500 nama ditemukan dalam sebahagian peranti suspek untuk dijadikan sebagai bakal mangsa dan mangsa.

“Mereka akan berkenalan dengan mangsa menerusi laman sosial Facebook sehinggalah suspek memperoleh kepercayaan sebelum ditawarkan barangan berharga dalam bungkusan kononnya dihantar. Namun bungkusan tersebut ditahan oleh pihak berkuasa di lapangan terbang.

“Mangsa akan dihubungi bagi membantu membayar kos pelepasan bungkusan berkenaan menerusi akaun bank. Kebanyakan mangsa yang ditipu terdiri daripada wanita,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman di sini hari ini.

Ahmad Noordin juga menjelaskan, siasatan pihaknya mendapati terdapat 23 bakal mangsa dari negara yang disebutkan terdahulu berjaya dan sedang ditipu oleh suspek terlibat.

Tambah beliau, terdapat seglintir ahli sindiket terbabit menggunakan kemudahan perbankan milik mangsa iaitu suspek meminta agar kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) diserahkan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Penipuan) bersama-sama Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 dan kesemua suspek masih ditahan reman sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dengan segera bagi arahan pertuduhan,” ujarnya.