RABIDIN SATIR

Keputusan itu dibuat setelah panel lima hakim diketuai oleh Ke­tua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menolak rayuan akhir Rabidin, 48, untuk mengetepikan hukuman tersebut serta sabitan dan hukuman ke atas empat pertuduhan lain termasuk dua pertuduhan merogol isteri mangsa bunuh itu.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Hakim Malanjum berkata, kuorum tersebut mendapati sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah betul berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan.

Perayu dikenali se­ba­gai ‘Rambo Bentong’ kerana tinggal di hutan bersendirian dan menggunakan pisau Rambo untuk mengugut dan menyerang mangsa, tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman itu dijatuhkan.

Yang turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah; Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Azahar Mohamed dan Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh.

Ini merupakan hukuman mati kedua terhadap Rabidin yang ber­asal dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah setelah Mah­kamah Ter­tinggi pada 21 Oktober 2016 turut mengekalkan hukuman di tali gantung terhadapnya atas kesalahan membunuh remaja perempuan berusia 17 tahun pada 2009.

Bagi kes hari ini, Rabidin merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Mac 2017 yang mengekalkan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh kakitangan jabatan perhutanan itu serta hukuman bagi empat pertuduhan lain yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 3 Disember 2015.

Ketika di Mahkamah Tinggi, selain hukuman mati, Rabidin dihukum penjara 12 tahun dan sebatan dua kali atas pertuduhan mengacukan senjata api terhadap si mati, penjara lapan tahun dan sebatan dua kali atas pertuduhan merompak dan hukuman penjara 12 tahun dan sebatan lapan kali bagi dua pertuduhan merogol isteri si mati.

Rabidin didapati bersalah membunuh lelaki berusia 31 tahun itu di sebuah kawasan Perumahan Jabatan Perhutanan, Jalan Tras, Bentong, Pahang antara pukul 3.50 pagi dan 4.30 pagi, pada 3 November 2012. Empat pertuduhan lain didakwa berlaku pada masa, tarikh dan tempat yang sama.