Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam, petugas hospital cuba menghalang lelaki itu kerana tidak mengikut prosedur namun dia berjaya membawa keluar anaknya dari wad sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan ketika mengesahkan kejadian tersebut berkata, bayi berkenaan dilahirkan secara pramatang pada 24 Disember lalu oleh ibunya yang berusia 19 tahun dan masih di bawah jagaan rapi pihak hospital.

Bagaimanapun katanya, si bapa berusia 29 tahun berkeras mahu membawa bayinya pulang dan enggan mengikut prosedur ditetapkan pengurusan hospital.

"Ketika dia itu cuba membawa bayinya keluar, berlaku kekecohan termasuk tarik menarik dengan jururawat. Mereka akhirnya terpaksa melepaskan lelaki itu kerana bimbang menjejaskan kesihatan bayi.

"Saya difahamkan kes ini tular di media sosial malam ini dan berlaku salah faham apabila orang ramai menyangka ia adalah kes culik. Punca kejadian termasuk motif sebenar lelaki itu melarikan bayinya masih disiasat,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Menurut Hasanuddin, pihaknya kini sedang mengesan lokasi pasangan suami isteri berkenaan dan bayi mereka. - UTUSAN ONLINE