Antara intipati penting Seksyen 27 itu, perihal jenayah mesti dilihat berlaku oleh orang awam dan suspek hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa dengan segera, bukan menghukum.

Menariknya, definisi tangkapan awam juga seperti diperluaskan warganet Malaysia melibatkan ‘tangkapan’ ke atas pengguna media sosial yang memuat naik komen-komen jelik sehingga me­nyentuh sensitiviti agama, kaum dan menghina institusi raja.

Paling ketara membabitkan berita peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV. Apabila ada komen jelik menghina institusi raja dalam isu berkenaan, warganet Malaysia bersolidariti menularkan pemilik akaun berkenaan.

Tujuan mereka supaya perbuatan itu sampai kepada pengetahuan pihak berkuasa dan seterusnya membolehkan siasatan diambil. Ini sama seperti orang kampung menangkap pencuri atau peragut untuk diserah kepada polis.

Bukan itu sahaja, mereka bersatu memberi tekanan kepada pengguna terbabit agar tahu garis sempadan sebagai warganet di Malaysia yang perlu komited memelihara asas negara termasuk menjaga sensitiviti kaum dan agama. Hasilnya ada yang minta maaf dan ada majikan yang bertindak.

Jika tiga individu ditahan kelmarin berkaitan komen menghina raja, warganet telah membuat ‘tangkapan awam’ awal lagi. Senang cakap, mereka cukup pantas bertindak berbanding pihak berkuasa yang tertakluk dengan birokrasi perundangan seperti menunggu laporan.

Perkembangan ini cukup sihat, walaupun media sosial dan rakyat Malaysia umpama irama dan lagu namun banyak sudut positif dapat disaksikan. Ini menunjukkan majoriti warganet Malaysia utuh mempertahankan Perlembagaan, institusi diraja dan asas negara yang lain.

Yang merosakkan cuma segelintir. Eloklah yang sedikit ini diajar dengan tindakan undang-undang. Walaupun tidak setegas Thailand, tetapi tetap mampu menjadi pengajaran kepada yang lain.

Ahli politik pula jangan bagi petunjuk salah termasuk mempersoalkan tindakan pihak berkuasa. Tak kisahlah undang-undang mana pun digunakan untuk menyiasat selagi akta itu masih belum dimansuhkan, apa masalah­nya.