Hasanuddin Hassan
HASANUDDIN

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, anggota tersebut dikatakan telah menahan mangsa yang berusia 17 tahun itu di lampu isyarat Persimpangan Tok Hakim tetapi dia tidak berhenti serta melarikan diri.

Beliau berkata, ketika dikejar, remaja itu dikatakan telah menghimpit motosikal anggota berkenaan sehingga terjatuh.

"Anggota yang mengalami kecederaan ini dikatakan kemudiannya bangun dan mengejarnya semula sehingga tiba di Jalan Kampung Sireh, di sini dan berlaku pergelutan.

"Walau apa pun, kita tidak dapat menerima tindakan dua anggota trafik ini. Saya dan kami semua sependapat tidak sepatutnya berlaku. Itu bukan kerja polis," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Semalam, Utusan Online melaporkan telah menular di laman sosial video dua anggota trafik menendang seorang remaja di Jalan Kampung Sireh di sini kira-kira pukul 3 petang kelmarin.

Ekoran daripada itu, Hasanuddin memberikan reaksi pantas bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan anggota yang dikatakan terlibat dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan ke atas dua anggota trafik berusia 20-an kerana kejadian tersebut walaupun tidak ada sebarang laporan diterima daripada remaja terbabit.

"Kita juga menjalankan siasatan dalaman. Kedua-dua anggota ini berpangkat konstabel dan baru bertugas setahun lebih.

"Mereka masih menjalankan tugas seperti biasa buat masa sekarang," katanya yang turut menjelaskan remaja terbabit didapati melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tidak memiliki lesen, cukai jalan serta insuran. - UTUSAN ONLINE