Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Wong Then Yoong, 67, dan Aw Soon Fatt, 66, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua warga emas itu didakwa dengan sengaja menyeret seekor anjing menggunakan rantai besi sejauh 2.3 kilometer hingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap haiwan berkenaan.

Kesalahan tersebut dilakukan kira-kira pukul 11 pagi di Jalan Batu Sinar, Bandar Baru Kampar pada 11 November 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (d) Akta Binatang 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kenneth Oon manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Shahrizan Johan dan Louis Liaw Vern Xien. - UTUSAN ONLINE