Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 21 tahun yang dipercayai memegang parang dalam kejadian tersebut di­serahkan oleh ibunya di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pukul 1.30 petang ini.

“Selain suspek, turut ditahan isteri suspek berusia dalam lingkungan 30-an ke­rana turut berada di dalam kereta ketika suami dan rakannya menyamun mangsa.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek yang tidak mempunyai rekod (jenayah) lampau mengaku terlibat dalam dua kes samun di sebuah kedai dobi layan diri dan kedai runcit seperti yang tular dalam media sosial,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan dua lelaki bersenjatakan parang mengambil masa 15 minit untuk melarikan wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM14,500 di dua lokasi di Sungai Petani, Selasa lalu.

Dalam kejadian pertama, suspek dan rakannya menyamun seorang wanita berusia 37 tahun yang merupakan pelanggan di sebuah kedai dobi layan diri di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani sebelum melakukan jenayah sama di sebuah kedai runcit 24 jam di Jalan Kelab Cinta Taman Ria.

Menurut Mior Faridalathrash, pihaknya percaya terdapat tiga premis disamun suspek kerana terdapat satu lagi kedai runcit 24 jam pada hari dan lokasi sama yang turut menjadi sasaran kumpulan berkenaan namun bagaima­napun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Dalam pada itu, katanya, hasil ujian urin dilakukan terhadap pasangan suami isteri tersebut mendapat kedua-duanya positif dadah jenis syabu.

“Tiada rampasan berkaitan dua kes samun tersebut dibuat setakat ini kerana suspek utama mengaku hanya mempunyai sebuah kereta Proton Iswara yang ditinggalkan di Taiping, Perak. Kereta itu bagaimanapun disyaki kereta curi berkaitan kes hilang di Kulim.

“Sehubungan itu, kita akan mempergiatkan usaha memburu seorang lagi suspek yang dipercayai masih berada di Sungai Petani. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Terdahulu, Mior Faridalathrash bersama Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mat Kasim Karim menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri antara Asisten Komisioner Zahari Mohamed dengan Superintenden Chuah Seong Lim.