Perkara itu didedahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bahawa terdapat 3,001 doktor pakar dikesan terlibat dalam kes berkenaan apabila didapati cuba mencari helah untuk mengurangkan jumlah cukai daripada yang sepatutnya dibayar.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah memberitahu, lebih memburukkan keadaan, kumpulan doktor pakar itu diakui mendapat ‘khidmat’ daripada ejen cukai yang didapati menjual Skim Pelarian Cukai Agresif de­ngan cara menawarkan perkhidmatan berhubung cara-cara me­ngurangkan jumlah cukai.

Kata beliau, helah itu dibuat apabila doktor-doktor pakar tersebut mengisytiharkan pendapatan mereka sebagai pendapatan syarikat sendirian berhad sedang­kan jumlah fi konsultan yang dite­rima daripada kontrak perkhidmatan dengan hospital pakar merupakan pendapatan perniagaan individu.

“Apabila pendapatan tersebut dilaporkan sebagai pendapatan syarikat sendirian berhad, doktor ber­kenaan menikmati cukai yang lebih rendah berbanding apabila dilaporkan sebagai perniagaan individu.

“Dalam kes ini, LHDN mengabaikan pendapatan yang diterima oleh doktor pakar melalui syarikat sendirian berhad dan membangkitkan taksiran atas pendapatan individu doktor berkenaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut Sabin berkata, seramai 2,229 daripada jumlah doktor pakar yang dikesan itu te­lah tampil membuat pengakuan secara sukarela dengan amaun cukai dan penalti bersih telah dikenakan berjumlah sekitar RM400 juta.

Menurut beliau, jumlah bersih itu setelah mengambil kira amaun taksiran kurangan ke atas cukai syarikat bagi pendapatan yang sama.

Beliau berkata, baki 772 doktor pakar yang tidak tampil itu akan diaudit dalam masa terdekat ini dan akan didaftarkan dalam senarai Pemantauan Pembayar Cukai Gagal Patuh (PPGP) jika penemuan audit menunjukkan mereka tidak mematuhi layanan cukai yang sepatutnya.

“Doktor-doktor pakar yang terlibat itu bukanlah tidak melaporkan pendapatan mereka langsung, cuma mereka sepatutnya melaporkan pendapatan tersebut sebagai pendapatan individu dan bukannya pendapatan syarikat,” katanya.

Sabin berkata, bagi menangani kes-kes tersebut, pihak LHDN te­lah menawarkan konsesi kepada kumpulan doktor pakar itu menerusi Persatuan Perubatan Malaysia bagi memudahkan proses membetulkan pelaporan pendapatan mereka sejak September hingga 30 Disember tahun lalu.

“Langkah itu ditawarkan bagi memberi peluang kepada doktor pakar tampil membuat pengakuan secara sukarela bagi membetulkan layanan cukai bagi Tahun Taksiran 2013, 2014 dan 2015.

“LHDN tidak akan berkompromi dengan pihak yang tidak patuh sama ada dalam urusan melaporkan pendapatan mahu pun menjelaskan bayaran cukai kerana memahami kita perlu mewujudkan keadilan kepada pembayar cukai yang setia dan tanpa gagal menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.