Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ketika ditahan pukul 6 petang tadi, Haziq Abdullah, 27, berada di terminal pelepasan antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Berdasarkan tiket penerbangan, suspek dijadual berlepas ke Manila, Filipina sebelum ditahan oleh sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Huzir, Haziq Abdullah akan disiasat mengikut empat kesalahan iaitu Seksyen 292, Seksyen 504, Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Jelasnya, Seksyen 292 Kanun Keseksaan ialah menjual dan sebagainya buku-buku dan sebagainya yang lucah yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang sama iaitu melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan luar tabii yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebat," katanya.

Tambahnya, siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, media melaporkan terdapat beberapa klip video tular memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel melakukan aksi seksual dengan seorang daripadanya didakwa kelihatan menyerupai menteri Kabinet. - UTUSAN ONLINE