Rohaizat Ismail, 48, dan isterinya, Juliah Abdul Rahman, 45, bercadang menyerahkan motosikal jenis Honda Wave yang telah dibeli kepada anak sulungnya Rafiq Afif Rohaizat, 18, sewaktu dijadualkan pulang ke Kolej Vokasional Bentong hari ini.

“Rafiq Afif ada bertanya kepada kami mengenai motosikal yang terdapat di rumah sebelum kami berangkat pulang bercuti meraikan majlis perkahwinan sepupunya di rumah neneknya di sini Jumaat lalu.

“Kami bercadang mahu menyerahkan motosikal tersebut kepada Along sekali gus membenarkannya menunggang motosikal tersebut ke Kolej Vokasional Bentong, namun ianya tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui hari ini.

Semalam Rafiq Afif yang pulang bercuti hujung minggu di rumah datuknya di Kampung Chodan dikhuatiri lemas ketika mandi bersama-sama adik dan sepupunya di jeti nelayan tersebut.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam ketika mangsa bersama-sama dua adik dan sepupunya sedang sedang mandi sebelum tiba-tiba mereka dibawa arus yang ketika itu difahamkan air sungai sedang surut.

Rohaizat tidak menyangka kepulangan mereka sekeluarga ke kampung untuk meraikan majlis perkahwinan anak saudaranya bertukar duka.

Sementara itu, Juliah berkata, mangsa merupakan anak sulung daripada empat beradik pergi ke sungai yang terletak kira-kira 300 meter di belakang rumah ibunya bersama-sama saudara mara lain sebaik selesai majlis peekahwinan anak saudaranya semalam.

Katanya, anaknya itu pada mulanya tidak berhasrat untuk mandi kerana kakinya masih cedera akibat kemalangan pada minggu lalu dan dia diminta untuk menjaga adik-adik dan sepupunya yang lain ketika mandi di sungai.

Juriah berkata, tidak lama selepas itu mangsa pulang ke rumah neneknya untuk menukar pakaian kerana teruja melihat keseronokan saudara lain mandi dan ingin menyertai mereka.

“Ketika itu 14 orang saudara-mara mandi dan bermain di sungai. Menurut mereka tidak sampai 10 minit anak saya mandi, tiba-tiba dia, adiknya dan sepupunya dihanyutkan arus deras.

“Adiknya, 16, serta sepupunya, 16, sempat diselamatkan oleh adik saya yang kebetulan berada di situ namun dia terus hilang dihanyutkan arus,” katanya. - UTUSAN ONLINE