Enam Ketua Polis daerah tersebut ialah Ketua Polis Daerah Sentul, Wangsa Maju, Dang Wangi, Cheras, Brickfields dan Putrajaya.

Mazlan berkata, arahan berkuat kuasa sejak Isnin lalu (30 Oktober) itu turut meliputi ke­giatan judi dalam talian yang kini semakin berleluasa.

Pada masa yang sama menurutnya, satu pasukan khas juga ditubuhkan di bawah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi melakukan risikan sekali gus memberkas dalang judi ha­ram di ibu negara.

“Tindakan ini juga merupakan arahan Ketua Polis Negara yang mahukan aktiviti haram yang berleluasa ini dibanteras sehabis-habisnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur antara Asisten Komisioner Mohd. Nazri Hussin dan Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.

Zulkefly sebelum ini merupakan Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan/Sukan/Rekreasi), Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Mazlan menegaskan, pihaknya akan memastikan dalam tempoh sebulan gerak kerja ini akan menunjukkan kesan yang positif dan mencapai sasaran yang dikehendaki.

“Kita telah banyak lakukan operasi sebelum ini namun dalang-dalang ini tidak berjaya ditahan kerana mereka menyembunyikan diri.

“Sehubungan itu dengan tertubuhnya pasukan khas ini kita dapat mengumpul lebih ba­nyak maklumat bagi memberkas dalang-dalang berkenaan untuk didakwa,” ujarnya.

Kata Mazlan, semua anggota polis di ibu negara diwajibkan memberi kerjasama bagi me­nyalurkan maklumat mengenai aktiviti perjudian haram yang diketahui kepada pasukan khas tersebut untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, sejak 18 Oktober sehingga semalam sebanyak 533 premis telah diperiksa.

“Seramai 56 tangkapan dibuat dengan 27 daripadanya adalah pemain, penjaga premis (18), pekerja (9) dan penonton (2).

“Kita turut merampas 44 tablet, telefon bimbit (32), moden WiFi (12), router (9), komputer riba (4), komputer (3) dan wang tunai bernilai RM8,178,” jelas­nya.