Perkara itu berikutan tular sekeping gambar dalam media sosial yang mengatakan kedua-dua mereka merupakan individu dimaksudkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbar, semalam.

Mohamed Haniff menjelaskan, lantikannya dan Muhammad Rafique secara sah untuk mewakili syarikat pemaju itu berhubung siasatan jenayah hanya berlaku selepas insiden rusuhan iaitu masing-masing pada pukul 7.30 petang dan 9 malam, Isnin, 25 November lalu.

“Rusuhan dilaporkan oleh media berlaku awal pagi Isnin manakala lantikan saya secara sah adalah pada pukul kira-kira 7.30 petang Isnin dan Muhammad Rafique pula pada pukul kira-kira 9 malam.

“Kenapa kami dilantik? Kerana pada masa itu pihak polis telah mula menyiasat dan syarikat pemilik berhasrat untuk kerjasama dalam siastan supaya dapat diselesaikan dengan baik. Maka mereka perlu diwakili peguam untuk membantu mereka berkerjasama dengan polis,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kota Damansara dekat sini, hari ini.

Semalam, kerajaan mendedahkan siasatan polis mendapati peguam kepada One City telah memberi upah sebanyak RM150,000 kepada 50 lelaki untuk mengambil alih Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini. - UTUSAN ONLINE