Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki berusia 52 tahun itu menyedari ditipu setelah merujuk kepada jirannya tentang panggilan yang diterima dan lelaki tersebut memberitahu ia adalah satu penipuan.

Katanya, kejadian itu bermula setelah mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selasa lalu.

“Suspek memaklumkan yang mangsa mempunyai surat notis SPRM sebelum menyambung panggilan itu kepada seorang anggota polis Bukit Aman yang memberitahu mangsa ada membuka akaun bank di Sabah pada 7 Mei lalu dengan simpanan RM3.2 juta hasil kegiatan pengedaran dadah melalui tujuh transaksi.

“Anggota polis itu juga menyatakan wang tersebut adalah wang haram daripada sumber pengedaran dadah yang diketuai oleh David Chin dan waran tangkap telah dikeluarkan kepada mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, talian kemudiannya disambung kepada seorang pegawai polis yang dikenali sebagai Inspektor Tan yang meminta mangsa hadir ke Bukit Aman dan mengosongkan kesemua wang di dalam akaun miliknya untuk tujuan siasatan kerana akaun mangsa akan dibekukan.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat lima traksaksi dalam tempoh dua hari ke dalam akaun milik seorang lelaki yang diberikan oleh pegawai polis tersebut.

“Inspektor Tan menyatakan semua wang mangsa dimasukkan ke dalam akaun mahkamah. Mangsa disedari ditipu apabila merujuk perkara itu kepada jirannya.

“Mangsa telah membuat laporan dan polis telah merakam percakapannya serta merampas slip pindahan wang berkenaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE