Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusuf berkata, pada April 2015, mangsa diperkenalkan oleh rakannya mengenai satu pelaburan atas nama sebuah syarikat.

Katanya, pelaburan itu melibatkan produk minuman berupa kopi dan lain-lain minuman suplemen.

"Empat pakej ditawarkan iaitu RM1,000, RM3,000, RM5,000 dan RM10,000, ahli yang melabur akan menerima satu perempat pulangan (dalam bentuk produk) dan tiga perempat pulangan (dalam berbentuk wang).

"Mangsa yang berusia 48 tahun melabur sebanyak RM190,000 dan telah menerima pulangan dalam lebih kurang RM37,950," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, bermula November 2016, mangsa dan ahli lain tidak menerima sebarang pulangan dan pihak syarikat memberikan alasan program dan pakej sedang dinaik taraf bagi keuntungan yang lebih tinggi.

"Namun sehingga kini, tidak mendapat sebarang maklum balas yang positif daripada pihak syarikat. Pengadu berasa tidak berpuas hati dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam," katanya.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah menawarkan pelaburan yang dijanjikan dengan pulangan setiap bulan sehingga mendorong mangsa memasukkan wang untuk dilaburkan serta mengalami kerugian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE