Dalam laporan polis bertarikh semalam dan dikongsi dalam portal www.pendidik2u.my, guru terbabit, Jan Raafi Mohamad memberitahu, murid berkenaan tidak ditampar atau terlanggar tangannya seperti tular dalam media sosial.

Jelasnya, kesan biru pada leher murid tersebut merupakan nila dan cuka yang diletak nenek kanak-kanak itu kerana disyaki terkena penyakit beguk.

“Untuk pengetahuan, Sekolah Lubok Keluli sekarang ini memang diserang penyakit beguk dan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

"Saya menafikan tuduhan itu kerana tidak melakukannya. Saya juga mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk membuktikannya.

“Murid itu tidak dijaga ibu kandung sebaliknya ibu mertuanya kerana hak penjagaan anak diberikan kepada bapa dan dia hanya datang pada setiap Isnin untuk melawat sahaja,” katanya dalam laporan tersebut, di sini semalam.

Tambahnya, setelah mengetahui laporan polis dibuat ke atasnya kelmarin atas tuduhan terbabit, dia tampil memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada pukul 9.45 malam hari sama.

“Polis memaklumkan tuduhan tersebut adalah rekaan ibu dan anaknya itu kerana selepas di soal siasat terhadap kanak-kanak tersebut adalah bercanggah.

“Ibu murid itu telah tularkan mengenai perkara ini tanpa bersemuka dengan saya,” ujarnya.

Isnin lalu, seorang wanita mendakwa anak saudaranya ditampar seorang guru sehingga mengalami kecederaan di bahagian tengkuk di Kampung Padang, Hulu Langat dekat sini.

Wanita dikenali sebagai ‘Diyaa Kaif’ tersebut memuat naik status dalam akaun miliknya menerusiclaman sosial Facebook mendakwa murid berusia lapan tahun itu ditampar guru terbabit kerana terlanggar tangannya ketika berlari bersama rakan-rakan. - UTUSAN ONLINE