Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa berusia 50 tahun telah terpedaya dengan kenalan yang dikenali menerusi aplikasi Instagram.

Katanya, setelah beberapa bulan berkenalan, suspek memberitahu mahu menghantar hadiah bungkusan namun mangsa yang perlu membayar caj perkhidmatan berkaitan.

"Beberapa hari kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memberitahu parcel itu telah sampai maka dia perlu membayar sebanyak RM14,300 dan RM12,800 pada dua akaun bank berlainan.

"Bagaimanapun, setelah pembayaran dibuat mangsa diminta membayar bayaran untuk bunga harian berjumlah RM4,500 daripada sebuah syarikat penghantaran," katanya dalam kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.

Tambahnya, tidak berhenti di situ seorang suspek memperkenalkan diri sebagai John Tsang juga beberapa kali mengugut untuk menghantar gambar lucah

mangsa ke Facebook dan sebagainya jika tidak melunaskan bayaran dikehendaki ke syarikat itu.

"Kemudian pada 1 November dan semalam mangsa menerima mesej Whatsapp daripada syarikat itu mengandungi gambar lucah mangsa.

"Mangsa diminta membayar RM627,672.73 dalam tempoh seminggu jika tidak mahu gambarnya disebarkan," jelasnya.

Menurutnya, mangsa tidak membuat bayaran itu dan melaporkannya kepada polis setelah menyedari sudah ditipu semalam. - UTUSAN ONLINE