Mangsa berusia 43 tahun pada mulanya tertarik dengan skim yang ditawarkan atas nama Pinjaman Peribadi Koperasi dan hanya mahu membuat pinjaman peribadi sebanyak RM20,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa kemudian meletakkan nombor telefon di ruangan komen bagi memudah pihak koperasi itu menghubunginya.

“Pada 30 April mangsa dihubungi seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Miss Celine daripada Syarikat Al Ariyah Enterprise yang menawarkan pinjaman peribadi.

“Selepas perbincangan, mangsa menyerahkan gambar beberapa dokumen dan suspek bersetuju menawarkan pinjaman peribadi RM20,000 dengan bayaran bulanan RM433.33 selama 5 tahun melalui potongan secara automatik bank,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, mangsa yang bersetuju dengan tawaran itu membuat beberapa kali transaksi wang untuk pelbagai caj dikenakan bermula 3 Mei sehingga Sabtu lalu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM108,380 dan wang berkenaan kononnya untuk tujuan pemprosesan dan kelulusan pinjaman itu.

“Mangsa menyedari ditipu apabila pelbagai transaksi dibuat dan menghubungi Telelink Bank Negara Malaysia (BNM) yang menasihatinya supaya membuat laporan polis. Dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan semalam,” katanya.

Tambahnya, polis telah merakam percakapan mangsa dan suspek dikenal pasti berdasarkan akaun bank diberikan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- UTUSAN ONLINE