Operasi yang dilaksanakan oleh 15 pegawai dari Unit Operasi Khas (QRT), Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen itu dijalankan bermula pukul 1.45 pagi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, wanita warga asing yang ditahan merupakan 44 warga Vietnam dan seorang warga Indonesia.

Menurut beliau, pihaknya turut menahan lima lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga serta disyaki ‘tonto’ yang menyalurkan maklumat mengenai kedatangan pihak berkuasa ke premis tersebut.

“Kedua-dua premis yang diserbu dipercayai menawarkan perkhidmatan seks wanita warga asing dengan harga RM155 dan RM160 untuk tempoh 45 minit. Bilik yang digunakan untuk aktiviti itu juga bertemakan kartun seperti Hello Kitty, Pikachu, Doraemon dan sebagainya.

“Semasa serbuan, ada antara mereka cuba melarikan diri dan mengambil risiko bersembunyi di ruang tangki air serta peti sejuk bagi mengelak ditahan. Bagaimanapun usaha mereka gagal kerana kawasan premis telah dikepung dan pemeriksaan menyeluruh dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar Mustafar, hasil risikan dan siasatan Jabatan Imigresen mendapati kegiatan salah guna kemudahan media sosial seperti aplikasi Wechat semakin berleluasa dan sindiket semakin licik menjalankan pemasaran aktiviti mereka.

“Pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja dan suami yang sudah berkeluarga menggunakan aplikasi ini untuk mencari jalan melakukan maksiat dengan melanggan pelacur,” ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 18 Borang 29 (saman saksi) dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.

“Aktiviti pelacuran di premis ini giat dijalankan walaupun beberapa kali telah diserbu oleh pihak penguatkuasa sebelum ini.

“Kita dapati wanita-wanita warga asing ini dapat mengumpul wang dalam jumlah yang besar melalui kegiatan maksiat dan pelacuran seperti ini tanpa rasa takut terhadap pihak berkuasa dan juga undang-undang,” katanya. - UTUSAN ONLINE