Itu yang dilakukan satu sin­diket penipuan yang membuat panggilan telefon dan menghantar e-mel palsu menggunakan nama Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) bagi mendapatkan wang secara mudah.

Unit Komunikasi Korporat PKPMP dalam satu kenyataan memberitahu, modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat panggilan secara rambang sebelum mendakwa mangsa mempunyai kes saman dan me­nuntutnya untuk segera hadir ke mahkamah pada hari bercuti atau hari minggu.

Ujar kenyataan itu, sindiket terbabit turut menakut-nakutkan mangsanya dengan menyatakan mereka telah didakwa atas beberapa kesalahan dan dikehendaki hadir ke mahkamah bagi mengelakkan tangkapan dibuat.

“Mangsa yang terpedaya kemudiannya akan diminta memasukkan sejumlah wang kepada satu akaun milik sindiket sekiranya mahu kes mereka diselesaikan tanpa hadir ke mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, PKPMP mendedahkan, selain membuat panggilan telefon, sindiket ter­babit juga dikatakan menghantar e-mel mengatakan mangsa merupakan waris yang sah bagi mewarisi harta yang berjumlah jutaan ringgit.

Jelasnya, mangsa kemudian­nya diminta memasukkan sejumlah yuran ke dalam akaun bank pihak sindiket supaya pewarisan harta tersebut dapat diproses dengan segera.

“Bagi meyakinkan orang ramai, sindiket terbabit juga dipercayai menghantar e-mel tersebut bersama-sama sijil perakuan yang menggunakan logo rasmi PKPMP sebelum pembayaran dilakukan.

“Selain itu juga, mangsa yang menerima e-mel palsu tersebut perlu membayar sejumlah wang bagi pihak mahkamah mengeluarkan Surat Kuasa Wakil bagi pengurusan harta pusaka di atas nama mangsa,” jelasnya.

Sehubungan itu, PKPMP me­nyaran orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon oleh mana-mana individu yang mendakwa diri daripada pihak mahkamah.

Tambah kenyataan itu, orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu nombor telefon atau e-mel yang diterima oleh mereka de­ngan menghubungi nombor rasmi pihak mahkamah.

“Adalah diingatkan bahawa sebarang pendakwaan hanya akan diserahkan secara terus kepada individu terbabit (personal service) dan penyerahan terbabit hanya boleh dilakukan oleh pihak polis bagi perkara berkaitan jenayah dan pihak firma guaman bagi perkara selain jenayah.

“Ingin ditegaskan juga, pihak mahkamah tidak akan sewenang-wenangnya membuat panggilan telefon secara rambang kepada orang awam,” katanya.