Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, pasukan 4 Regimen Sempadan (4RS) melakukan rondaan di sekitar Pos Sahara sebelum terserempak dengan beberapa individu sedang memuatkan bungkusan daun ketum ke atas sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pasukan tersebut merampas 609 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM55,000 dipercayai cuba diseludup ke Thailand.

“Pasukan peronda kita curiga dengan kumpulan terbabit sebelum menghampiri mereka untuk tujuan pemeriksaan namun akibat terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa individu-individu berkenaan terus melarikan diri ke dalam hutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan pada bahagian muatan lori berkenaan itu menemukan bungkusan plastik lutsinar berisi daun ketum diikat rapi dan disusun berbaris-baris.

“Bahagian bawah lantai lori itu diubah suai dan ditutup dengan menggunakan papan bagi mengelak taktik tersebut dihidu pihak berkuasa,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, rampasan tersebut adalah pertama kali dilakukan melibatkan sebuah lori yang diubah suai untuk tujuan penyeludupan berbanding menjadikan kawasan hutan sebagai transit sebelum diambil pihak ketiga untuk diseludup.

Tambahnya, taktik itu menunjukkan bahawa aktiviti penyeludupan daun ketum di sempadan aktif berlaku ekoran permintaan dan harga yang tinggi di negara jiran.

“Semua daun ketum dan lori bernilai kira-kira RM74,810.00 dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tegasnya, ATM akan terus meningkatkan kawalan keselamtan di sepanjang sempadan negara bagi mengekang kegiatan penyeludupan barangan terlarang dan berbahaya selain warga asing daripada memasuki negara ini. - UTUSAN ONLINE