Itu modus operandi yang didalangi tiga warga Sri Lanka dan bergerak aktif sejak perte­ngahan tahun lalu bagaimanapun terbongkar selepas 37 warga asing termasuk tiga ahli sindiket itu ditahan Polis Diraja Malaysia dalam serbuan di beberapa kawasan di sekitar Klang dekat sini pada 4 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut telah membeli sebuah bot pelancong serta dalam proses pembelian tiga bu­ah bot enjin untuk digunakan bagi menyeludup manusia.

“Tangkapan migran melibatkan 34 individu dan terdiri daripada 24 warga Sri Lanka manakala 10 lagi merupakan warga India. Daripada jumlah itu, 16 individu adalah lelaki, 11 wanita dan tujuh lagi adalah kanak-kanak.

“Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 kerana cuba dan keluar masuk melalui jalan tidak sah atau jalan tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Mohamad Fuzi memberitahu, melalui serbuan tersebut, pihaknya percaya telah berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan manusia di negara ini yang dipercayai mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, India, New Zealand dan Australia.

Katanya, usaha untuk mengesan aktiviti penyeludupan manusia akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kegiatan itu dibanteras sepenuhnya.

“Individu-individu yang ditahan ini akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Antipemer­dagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 sekiranya terdapat keterangan untuk pendakwaan,” ujarnya.