Pengerusinya, Ahmad Farouk Zawawi berkata, lebih mendukacitakan apabila majoriti kes membabitkan golongan imam dan bilal yang dijadikan ‘kambing hitam’ oleh pihak tertentu untuk menipu orang ramai menyertai pakej umrah murah.

Ahmad Farouk berkata, antara taktik licik digunakan termasuk membawa bilal dan imam terlebih dahulu melaksanakan umrah dengan harga jauh lebih murah dan seterusnya mengumpan lebih ramai jemaah namun perjalanan seterusnya tidak berlaku.

“Kebanyakan mangsa ditawarkan pakej umrah dengan bayaran serendah RM3,500 kerana kononnya bayaran selebihnya dibayar kerajaan Arab Saudi sebagai zakat bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

“Mereka memujuk imam dan bilal untuk mempromosikan pakej umrah murah yang sebenarnya tidak wujud,” katanya ketika ditemui dalam Ekspo Pelancongan 2018 anjuran MATTA negeri di KB Mall hari ini.

Ahmad Farouk berkata, pihaknya berharap golongan imam dan bilal berwaspada jika ditawarkan pakej umrah dengan harga yang tidak masuk akal bagi mengelak kredibiliti mereka dalam masyarakat disalahgunakan individu yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin mengerjakan haji dan umrah ataupun melancong ke mana-mana destinasi sepatutnya mendapatkan pakej dengan agensi pelancongan yang diiktiraf kerajaan.

“Jika berlaku penipuan, mereka bukan saja malu kerana tidak dapat menunaikan umrah bahkan kerugian duit akibat kecuaian sendiri kerana berurusan dengan agensi tidak berdaftar,” katanya.

Ekspo Pelancongan 2018 berlangsung selama tiga hari bermula semalam dibuka kepada orang ramai pada pukul 10 pagi sehingga pukul 10 malam.

Sebanyak lapan agensi pelancongan menyertai ekspo itu iaitu Ismazul Travel Agency Sdn Bhd; Al-Quds Umrah & Tours; Labbaik Travel & Tour; Syarikat Pelancongan Yaskin; Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd; Kopetro Travel& Tours; Hijrah Sufi Travel &Tours Sdn Bhd dan KRS Travel & Tours. - UTUSAN ONLINE