Sindiket itu bertindak berani dengan menghantar dokumen palsu melalui e mel, aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon secara rambang kepada pihak tertentu yang mendakwa mewakili pihak mahkamah.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar berkata, dokumen-dokumen itu antaranya menggunakan cop mahkamah dan kepala surat seakan-akan kepala surat mahkamah beralamat di Istana Kehakiman.

Ujar beliau, pihak yang tidak bertanggungjawab turut menggunakan talian am mahkamah yang mendakwa mereka merupakan kakitangan pejabat itu yang meminta mangsa membuat bayaran bagi menyelesaikan kes pinjaman perumahan bank.

“Orang ramai diminta berhati-hati kerana pejabat ini tidak akan sewenang-wenangnya membuat panggilan telefon secara rambang dan menghantar dokumen palsu berkaitan perintah mahkamah,” ujarnya pada sidang akhbar di Istana Kehakiman di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE