Turut ditahan dalam Op Mega 3.0 itu, dua lelaki tempatan yang dipercayai melakukan kesalahan melindungi kesemua wanita warga Vietnam itu.

Pengarah Imigresen Perak, Kamaluddin Ismail berkata, dalam serbuan pada pukul 12 malam hingga 2 pagi itu, restoran itu turut menawarkan perkhidmatan karaoke dan warga Vietnam itu dipercayai menjadi gadis pelayan pelanggan (GRO) di dalam 15 bilik yang disediakan.

Menurutnya, hasil risikan selama dua minggu, pihaknya percaya restoran dua tingkat itu turut menyediakan perkhidmatan seks berdasarkan penemuan kondom di dalam bilik karaoke.

"Kesemua 11 wanita itu berusia dalam lingkungan 15 hingga 42 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di dalam premis tidak berlesen itu.

"Manakala dua lelaki disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/1963," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Menurut Kamaluddin, daripada 11 tangkapan itu, seorang turut melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini, dua wanita menyalahguna pas lawatan manakala lapan lagi tiada dokumen perjalanan yang sah. - UTUSAN ONLINE