Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GMMF, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa berkata, pihaknya memohon pihak penguatkuasa menyiasat dan memastikan motif sebenar pembunuhan tersebut yang dilihat sangat terancang.

Malah, katanya, mereka yang terlibat perlu segera dihadapkan ke muka pengadilan.

“Sebagai mewakili GMMF, kami ingin melahirkan rasa simpati dan ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang terpaksa melalui tempoh sukar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Allahyarham Fadi, 35, ditembak 10 kali dengan empat das daripadanya disasar ke badan oleh seorang daripada dua suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi.

Kejadian serangan kira-kira pukul 6 pagi itu adalah di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti di sini.

Fadi yang merupakan pensyarah sebuah universiti swasta di sini maut selepas mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepala ketika dalam perjalanan ke Surau Medan Idaman bagi menunaikan solat subuh. - UTUSAN ONLINE