Senario yang sudah berlarut­an sejak beberapa tahun lalu itu membolehkan kontraktor terbabit mengaut keuntungan melampau walaupun proses berkenaan dilakukan secara telus melalui permohonan tender.

Sebagai kesannya, sikap tamak golongan berkenaan secara jelas merugikan kumpulan petani ekoran jumlah bantuan berbentuk barangan yang diagihkan melalui program tersebut berkurangan daripada nilai sepatutnya.

Menurut sumber, perkara itu dapat dibuktikan melalui sebut harga yang ditawarkan kontraktor dalam proses permohonan tender.

Jelas sumber, tokokan harga barangan itu membabitkan peralatan, baja, racun termasuk kos pembersihan tanah.

“Biasanya geran bantuan mencecah RM20,000 bagi setiap petani bergantung kepada jenis pertanian sedangkan barangan yang diperoleh berkurangan di­sebabkan banyak harga barangan ditingkatkan hampir 20 peratus.

“Sebagai contoh mudah, harga baja urea runcit RM80 sedangkan ada kontraktor yang menawarkan sehingga RM100. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kontraktor mendapat harga pembekal iaitu terus daripada pengeluar iaitu jauh lebih rendah daripada harga runcit,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bagaimanapun sumber itu memaklumkan, walaupun perkara tersebut berlaku di seluruh negara, namun tidak semua kontraktor bersikap demikian.

“Kontraktor memang perlu ada untung tetapi sekiranya harga barangan itu dinaikkan kepada 20 hingga 30 peratus itu agak melam­pau.

“Kalau tiada untung siapa mahu memohon tender, namun agak pelik jika harga barangan yang dibekalkan dalam kuantiti banyak lebih mahal berbanding harga runcit yang diperoleh petani dengan pembelian tunggal.

“Bayangkan satu barangan untung sehingga RM10 ke RM20 jika didarab dengan ratusan ribu barangan yang diagihkan di bawah geran bantuan itu, sudah pasti keuntungan dikaut mencecah ratusan juta,” ujarnya.

Dedah sumber berkenaan, antara kategori yang sering dieksploitasi kontraktor terbabit ialah menerusi aspek pembersihan tanah yang turut disenaraikan dalam geran bantuan petani.

“Sebagai contoh, peruntukan bagi kos pembersihan tanah ialah sebanyak RM2,500. Walhal kontraktor terbabit membayar upah pihak ketiga bagi menjalankan kerja itu hanya sekadar RM800 ke RM1,500,” jelasnya.

Sebagai rekod, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM5.3 bilion pada 2016 bagi sektor pertanian termasuk bantuan petani dan peladang, manakala RM6 bilion pada 2015.