Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ini susulan laporan polis yang dibuat Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Perak, V. Sivakumar di Kuala Lumpur kelmarin.

"Kita akan tengoklah keperluan dari segi siasatan dalam masa terdekat ini, terutama dakwaan pihak tertentu berhubung isu pergolakan politik di negeri Perak.

"Kita sedar mengenai perkara ini dan akan ambil langkah perlu untuk memastikan keadaan ini tidak menjejaskan keadaan keselamatan khususnya di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini. 

Dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin [email protected] Rasid akan memangku tugas Ketua Polis Perak berkuatkuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Hasnan Hassan yang bersara wajib.

Ditanya sama ada akan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini yang akan dipanggil untuk memberikan keterangan, Mohamad Fuzi berkata, perkara itu bergantung kepada keperluan siasatan yang akan dijalankan.

Kelmarin, Sivakumar membuat laporan polis Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung dakwaan berlaku pergolakan politik di Perak.

Ini susulan dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad terdapat gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui undi tidak percaya. - UTUSAN ONLINE