Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Yhazid Idris berkata, tangkapan pertama dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPK Melaka membabitkan seorang suspek lelaki berusia 33 tahun pada pukul 2.30 pagi di sebuah restoran di Johor Bahru, Johor.

Menurutnya, susulan tangkapan pertama membawa kepada penangkapan dua lagi suspek lelaki berumur 23 dan 29 tahun serta seorang suspek wanita berumur 25 tahun kira-kira pukul 5 pagi hari sama di sebuah pangsapuri dekat Taman Kempas Utama, Johor.

“Berikutan tangkapan itu, polis berjaya merampas barangan kes dipercayai digunakan dalam kejadian samun termasuk sebuah kereta Honda Accord dan sebuah motosikal Yamaha RXZ yang kedua-duanya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Selain itu, turut dirampas beberapa jenis senjata termasuk dua bilah barang panjang dan sebilah pisau bersarung selain sebuah telefon bimbit jenama Mi, topi keledar dan topeng muka,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang di sini sebentar tadi.

Jelas Mohd. Yhazid, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek lelaki berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 31 Januari lalu.

“Hasil tangkapan operasi khas tersebut, polis yakin berjaya menyelesaikan sebanyak 14 kes samun bersenjata termasuk tiga kes di Melaka dan 11 kes yang dilaporkan di Johor,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE