Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, suspek yang berusia 29 dan 41 tahun itu ditahan ekoran laporan dua kes samun di Kerian, satu kes di Selama dan beberapa kes di Kedah dan Pulau Pinang.

Menurutnya, dalam serbuan pertama pada 13 April lalu, polis menahan dua lelaki yang merupakan ahli kumpulan itu di Tasek Gelugur, Pulau Pinang.

Katanya, hasil siasatan pihak polis kemudiannya berjaya menahan dua suspek lagi di Taman Kamunting Perdana di sini.

"Hasil daripada tangkapan itu, polis berjaya merampas sebuah kereta jenis Proton Waja, parang, cota boleh laras, set nombor pendaftaran palsu, sarung tangan kain merah, sarung tangan putih, topeng dan satu set pisau kecil dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah samun," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa kerugian RM150,000 akibat kegiatan kumpulan itu yang memakai topeng dengan bersenjatakan parang ketika melakukan jenayah samun.

Katanya, sasaran kumpulan penjenayah tersebut ialah rumah atau pejabat yang penghuninya tinggal bersendirian.

"Kumpulan ini bergerak aktif sejak pertengahan tahun lalu dan ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah," katanya.

Sementara itu, polis menumpaskan kegiatan curi bateri kenderaan di kawasan Taiping yang dilakukan oleh kumpulan dikenali geng Naga ekoran penahanan dua lelaki pada 15 April lalu.

Menurutnya, suspek ditahan di kawasan tempat letak kereta di Pangsapuri Ria, Pulau Pinang manakala dua lagi suspek masih bebas.

Katanya, suspek yang berusia 23 dan 34 tahun berasal dari Taiping ditahan selepas 10 kes curi bateri kenderaan dilaporkan di Kerian, satu kes pecah rumah inap desa di Taman Simpang Makmur dan satu kes pecah rumah di Simpang di sini.

"Sasaran kumpulan ini ialah mencuri beteri dari lori dan bas dan bateri kenderaan yang dicuri dijual di kedai barang lusuh di Taman Pengkalan Maju di sini," katanya.

Katanya, suspek ditahan reman empat hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 370 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE