Difahamkan, kumpulan yang turut dianggotai seorang remaja perempuan berusia antara 15 hingga 43 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan bermula pukul 2.30 pagi di sekitar Batu Caves, Selayang, di sini kelmarin.

HAMZAH ALIAS
HAMZAH ALIAS 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, serbuan itu dilakukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah susulan aduan seorang pemandu Grab mendakwa disamun sekumpulan tiga lelaki yang menaiki kenderaannya pada 20 September lalu.

“Mangsa berusia 21 tahun itu mengadu diacukan sebilah pisau pemotong sayur oleh seorang daripada penumpang yang duduk di bahagian belakang sebelum memaksanya menyerahkan barangan berharga serta wang tunai miliknya.

“Kejadian itu berlaku pada pukul 3.50 pagi di Taman Bakti, Ampang, dekat sini, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Hamzah, kum­pulan tersebut aktif menyamun bukan sahaja pemandu Grab, malah orang ramai di tepi-tepi jalan sekitar Lembah Klang sejak setahun lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati, semua suspek terlibat dalam sekurang-kurangnya enam kes samun kereta Grab di Ampang, Selayang dan Chow Kit.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga Rabu depan untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun,” ujarnya.