Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua mereka berusia antara 15 hingga 24 tahun itu ditahan dalam operasi antara pukul 2.30 pagi hingga pukul 5.45 pagi di sekitar Sungai Lalang.

Kata beliau, berikutan itu sejumlah kabel, alat pemotong dan alat penghadang jalan ditemukan di belakang sebuah rumah di Sungai Lalang.

"Dengan tertumpasnya kumpulan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan 49 kes kecurian kabel milik TM sejak Oktober tahun lalu sehingga pertengahan Februari tahun ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.

Adzli berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi geng ini adalah suspek berusia 15 tahun akan memanjat tiang TM dan memotong kabel menggunakan alat pemotong.

"Tiga abangnya yang menunggu di bawah kemudian akan menggulung wayar kabel tersebut dan memasukkannya ke dalam guni sebelum dibawa ke tempat sunyi untuk mengambil tembaga di dalam kabel tersebut," ujarnya.

Kata beliau, geng itu memperoleh hasil antara RM200 hingga RM300 untuk sekali jual kepada pembeli.

Katanya, hasil tangkapan berkenaan polis juga menahan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 40 tahun yang disyaki pembeli kabel dicuri itu dan pemilik kedai barangan lusuh.

"Suspek mengaku telah mencuri kabel tembaga milik TM dan menjual kabel tersebut di dua buah kedai barang lusuh di kawasan Bedong.

"Salah sebuah kedai ini beroperasi dengan tiada lesen. Antara lain turut dirampas 10 keping besi penghadang jalan, tiga unit buku rekod jual beli barang lusuh dan satu unit alat penimbang," katanya.

Menurut beliau, dua daripada empat beradik itu yang berumur 19 dan 24 tahun didapati positif dadah.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekenhend 1946 (Akta 189), Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil. - UTUSAN ONLINE