Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu, suami isteri berusia 26 dan 24 tahun itu ditahan bersama adik perempuan suspek lelaki dan seorang sepupu lelaki mereka.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, polis merampas ganja seberat 23.76 kilogram yang dibalut dengan plastik lutsinar bernilai RM72,000.

“Dengan tertangkapnya empat suspek dikenali Geng adoyok ini, polis percaya dapat menumpaskan kegiatan pengedaran di sekitar daerah ini termasuk Pontian.

“Empat suspek sekeluarga ini dipercayai aktif sejak tujuh bulan lalu dan mereka kini direman sehingga 11 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar, di sini sebentar tadi.

Abdul Wahib berkata, polis melakukan intipan dan risikan sejak lima bulan lalu sebelum menyerbu kediaman ibu suspek utama yang dijadikan lokasi penyimpanan sebelum ganja itu dijual kepada penagih.

Ujian saringan air kencing terhadap dua suspek lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori dan bekerja kampung turut positif ganja, manakala kedua-dua suspek wanita didapati negatif. - UTUSAN ONLINE