Dalam tempoh itu, polis berjaya menahan ketua kumpulan terbabit yang dikenali sebagai Mat Adam dan empat ahlinya berusia antara 17 tahun hingga 44 tahun dalam beberapa operasi berasingan.

Turut dirampas adalah sembilan buah motosikal curi yang dianggarkan bernilai RM31,500

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, tangkapan pertama adalah pada 28 Februari lalu dalam operasi di kawasan Felda Aring.

Katanya hasil siasatan polis berjaya menangkap ketua geng iaitu Mat Adam yang berusia 25 tahun di kawasan ladang kelapa sawit Felda Aring 1.

“Kita turut merampas dua lagi motosikal Honda EX5, rangka dan enjin motosikal serta peralatan yang digunakan untuk mencuri motosikal.

“Kemudiannya kita berjaya menahan dua lagi suspek lelaki bersama dua lagi motosikal yang aktif dalam kegiatan curi motosikal di sekitar Gua Musang dan Paloh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, seorang wanita berusia 40 tahun dari Felda Aring juga turut ditahan dalam operasi itu kerana membeli dua motosikal curi.

Menurut beliau, modus operandi geng itu adalah melakukan jenayah mencuri pada waktu malam dengan menggunakan alat perosak kunci yang diubah suai serta menjual motosikal pada harga murah sehingga RM600 untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

“Berdasarkan siasatan awal, semua suspek aktif menjalankan kegiatan curi motosikal sejak tahun 2013 di sekitar bandar ini dan polis percaya kumpulan berkenaan mengubah suai motosikal sebelum menjual komponen itu.

“ Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine,”, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana peras ugut, 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi. - UTUSAN ONLINE