Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran berkata, kesemua suspek tersebut berusia antara 28 hingga 48 tahun termasuk seorang wanita.

Tambahnya, kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri kenderaan mewah jenis Toyota antaranya Toyota Vellfire dan Toyota Alphard sejak tahun lalu.

"Hasil siasatan mendapati kumpulan ini terlibat mencuri sebanyak 30 buah kereta di sekitar negeri ini, Kedah dan Johor.

"Kesemua kenderaan yang dicuri kemudiannya dihantar ke negara jiran dipercayai Thailand dan dijual dengan harga RM18,000 hingga RM42,000 sebuah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.

Menurut Narenasagaran kumpulan itu didapati menggodam sistem data keselamatan kenderaan mewah tersebut untuk menghidupkan enjin kereta itu.

"Alat-alat yang digunakan untuk mencuri kenderaan ini dipercayai dibeli menerusi internet.

"Mereka juga dipercayai belajar daripada internet cara-cara menggodam sistem kenderaan ini," katanya.

Tambahnya,  kesemua suspek mempunyai beberapa rekod lampau iaitu 15 kesalahan jenayah dan tiga rekod kesalahan lalu membabitkan dadah.

"Dengan tertangkapnya ahli kumpulan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan 11 kes kecurian kenderaan iaitu sembilan di negeri ini dan dua di Johor.

"Kita juga percaya dapat menyelesaikan banyak lagi kes kecurian kenderaan mewah berdasarkan pengakuan kumpulan ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut merampas masing-masing sebuah kereta jenis Myvi, Honda City dan Honda Civic, beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan, beberapa keping cukai jalan palsu dan  barangan lain dalam operasi tersebut. - UTUSAN ONLINE