Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim (gambar) berkata, pihaknya di bawah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sentiasa memantau secara menyeluruh kegiatan mat rempit yang sering menjadikan lebuh raya dan jalan raya sebagai gelanggang berlumba.

Menurutnya, polis sedia maklum mengenai kegiatan lumba haram dan mat rempit sekitar ibu negara, lebih-lebih lagi di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) yang menjadi tumpuan beraksi pada hujung minggu.

“Oleh sebab itu, operasi dan penguatkuasaan yang dijalankan JSPT sering menyasarkan kawasan Duke kerana kita perhatikan lokasi itu tempat ‘wajib’ perlumbaan.

“Penguatkuasaan dilakukan bukan sekadar mengenakan saman, malah ada dalam kalangan mereka berdepan tindakan mahkamah atas kesalahan lain yang dilakukan,” katanya kepada S2.

Bahkan kata Mazlan, tiada lagi istilah berlembut kepada mat rempit atau disifatkan beliau sebagai samseng jalanan kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan pengguna jalan raya lain.

Jelasnya, sepanjang operasi dijalankan pihaknya mendapati kesalahan yang sering dilakukan oleh kumpulan itu adalah mengubah suai enjin, tayar serta nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi.

“Malah kesalahan utama dikesan apabila terlibat dalam penyalahgunaan dadah, hasil daripada saringan air kencing secara rawak,” ujarnya.

Justeru, beliau dengan tegas memberi kata dua kepada mereka yang masih berdegil dan berhajat meneruskan kegiatan itu sama ada berdepan dengan tindakan undang-undang atau menghentikan aktiviti tidak berfaedah tersebut.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih bertanggungjawab dengan memantau kegiatan anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam lumba haram.