Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, lelaki berusia 50 tahun itu terpedaya dengan iklan yang menawarkan pembelian burung kakak tua bernilai RM5,000.

“Pada hari kejadian, mangsa membuat pembayaran penuh dengan dua transaksi pemindahan wang masing-masing berjumlah RM2,500.

“Bagaimanapun, pada keesokan hari, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM6,800 untuk pengeluaran permit. Setelah melakukan pembayaran tersebut, suspek meminta mangsa membayar lagi sebanyak RM22,745 bagi proses insurans burung tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Menurut Azlin, tidak lama kemudian, mangsa dihubungi seorang lelaki warga Nigeria yang mendakwa wakil syarikat penghantaran serta memaklumkan suspek akan membayar balik wang mangsa sebanyak RM100,000 dari akaun luar negara.

Katanya, bagaimanapun, mangsa mendapati tiada wang dimasukkan ke dalam akaun bank apabila semakan dibuat dan suspek meminta lelaki tersebut memasukkan lagi RM6,000 bagi mendapat semula wang dijanjikan.

Jelas beliau, mangsa telah membayar suspek jumlah tersebut namun masih tidak mendapat burung kakak tua serta wang yang dijanjikan.

“Malah, suspek turut menghubungi mangsa dan meminta membuat beberapa bayaran lain. Mangsa mula menyedari dirinya ditipu dan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya, kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE