KELICIKAN pihak tertentu memanipulasi sistem perbankan menyebabkan ada pihak yang dapat membeli lapa
KELICIKAN pihak tertentu memanipulasi sistem perbankan menyebabkan ada pihak yang dapat membeli lapa

Antaranya sistem tersebut dipercayai mudah dimanipulasi bagi membolehkan seseorang individu membeli lima buah kenderaan atau lebih secara serentak walaupun secara logiknya, dia hanya layak menerima pembiayaan untuk sebuah kenderaan.

Modus operandinya adalah melakukan permohonan secara serentak kepada semua bank yang ada di negara ini untuk mendapatkan kelulusan.

Akibat kegagalan sistem perbankan mengesan sama ada permohonan yang diterima turut diajukan kepada bank lain, pembeli terbabit dapat menandatangani beberapa perjanjian sewa beli dan mendapatkan kereta-kereta idaman mereka.

Kereta-kereta itu bukan untuk kegunaan peribadi sebaliknya bagi mengaut keuntungan dengan dipajak kepada kepada syarikat tertentu, disewa dan perkhidmatan perkongsian kenderaan.

Wartawan Utusan Malaysia, AMIRUL AFIQ MASTOR membongkar kegiatan tersebut dan cara ia dilaksanakan sehingga membolehkan pihak tertentu memanipulasi sistem perbankan untuk mengaut keuntungan.
 

Dengan gaji bulanan seba­nyak RM3,000, seorang pemohon pinjaman kenderaan mampu membeli lapan buah kereta dalam satu masa.

Bunyinya kelihatan pelik namun ia perkara biasa dalam kalagan mereka yang cekap dalam memanipulasi sistem perbankan.

Modus operandi yang digunakan itu biasanya bagi tujuan mendapatkan beberapa buah kereta yang sama atau berlainan model yang boleh dibeli mengikut tahap gaji bulanan masing-masing.

Seorang pembeli yang ditemui berkata, dia berpakat bersama jurujual kenderaan dengan menghantar borang permohonan pinjaman sewa beli ke beberapa buah bank secara serentak.

Katanya, ketika borang itu diterima, pihak bank kebiasaannya menyemak sejarah kredit pemohon sebelum meluluskan pinjaman kenderaan yang dimohon berdasarkan kelayakan dan gaji bulanan.

“Apabila proses ini dilakukan secara serentak, pihak bank mungkin gagal memastikan sama ada permohonan ke atas bank lain telah diterima atau diluluskan, dengan itu mereka meluluskan permohonan tersebut.

“Sebagai contoh, perkara ini terjadi kepada salah seorang pembeli kenderaan yang sengaja mahu mendapatkan sebanyak mungkin kereta Honda City baharu bagi tujuan memajaknya kepada syarikat sewa kereta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, sebanyak lapan daripada 10 bank terbabit meluluskan permohonan pembiayaan dan surat tawaran ditandatangani dalam masa beberapa hari berikutnya tanpa diketahui pihak bank.

Dia memberitahu, teknik itu diajarkan oleh pengusaha syarikat kereta sewa bagi membolehkan seseorang individu membeli ba­nyak kenderaan secara sekali gus.

“Saya berani berbuat demikian kerana kelak kereta-kereta tersebut akan dipajak pada syarikat sewa kereta yang akan membayar sewa kepada saya secara bulanan,” jelasnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bagi sebuah Honda City spesifikasi rendah, bayaran bulanan kenderaan tersebut adalah antara RM850 hingga RM900 sebulan bagi tempoh sembilan tahun manakala syarikat sewa kereta akan membayar sewa bulanan kepada pemiliknya sebanyak RM1,400 sebuah.

Maka, pemilik kenderaan boleh mengaut keuntungan antara RM500 hingga RM550 setiap bulan apabila ditolak bayaran kepada bank.

Atas alasan inilah mereka mahu mendapatkan sebanyak mungkin kereta bagi memaksimumkan keuntungan.

Persoalannya, bagaimana bank tidak dapat mengesan manipulasi yang dilakukan itu sehingga membolehkan seseorang yang hanya mampu mempunyai sebuah kereta dengan ansuran bulanan maksimum RM1,000, memiliki lapan buah kenderaan serentak.

Dengan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM7,200 bagi lapan buah kereta itu, sudah pasti ia jauh lebih tinggi daripada jumlah gaji yang diterima setiap bulan.

Keadaan itu mendedahkan pembeli kereta berkenaan dengan risiko kewangan sekiranya syarikat sewa kereta tersebut berdepan masalah seperti gulung tikar atau tidak lagi beroperasi.