Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang kontraktor, penyelia dan pembedil syarikat pemaju kerana gagal memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari bekerja sebelum melakukan kerja-kerja letupan.

Menurutnya, letupan kuat di kawasan pembinaan berbukit berdekatan Aeon Taiping kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini, menyebabkan lampu isyarat milik pusat beli belah itu rosak teruk dan serpihan batu bertaburan ke kawasan tempat letak kenderaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kerugian dianggarkan bernilai RM1,500.

Katanya, semakan mendapati syarikat pemaju berkenaan memiliki lesen sah membeli, membawa dan menggunakan bahan letupan sehingga 31 Mac ini.

"Syarikat tersebut telah melantik dua orang pembedil untuk memecahkan batu bukit sedalam enam meter untuk tujuan pembinaan di atas sebidang tanah di Mukim Kamunting.

"Proses peletupan telah dijalankan dan tiba-tiba, batu besar yang berada di tepi bukit runtuh dan menghempap tiang lampu isyarat dan bertaburan di sebahagian jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis telah menangkap ketiga-tiga suspek yang berumur 47 hingga 61 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957. - UTUSAN ONLINE