Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj, pemandu terbabit, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 24, bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod saman trafik.


“Hasil siasatan awal mendapati van jenis Maxus V80 Westar yang dinaiki 14 mangsa dari arah bandar Kuala Krai menghala ke Kota Bharu baru memotong sebuah kereta di hadapannya.


“Selepas memotong, pemandu memasuki semula ke laluannya namun gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan melanggar sebuah rumah di sebelah kanan jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Menurut beliau, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi maut manakala tujuh lagi parah selepas van dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah rumah di Kampung Telekong. - UTUSAN ONLINE