Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, tindakan itu berikutan pihaknya telah memberi tempoh selama 60 hari sejak sistem tersebut dilaksanakan pada 1 September lalu untuk pesalah jalan raya membayar kadar kompaun sebanyak RM300.

Menurut beliau, sehingga 30 September lalu, sebanyak 22,164 saman Awas telah dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya dengan 20,792 saman didapati memandu melebihi had laju dan 1,372 saman pula tidak mematuhi lampu isyarat merah.

“Bagaimanapun, selepas 60 hari dari tarikh Awas dilaksanakan iaitu mulai 1 November ini, mana-mana individu yang gagal membayar kompaun akan didakwa di mahkamah.

“Jika masih gagal hadir se­perti dikehendaki, mereka akan disenarai hitam oleh mahkamah dan dihalang daripada melakukan apa jua transaksi serta urus niaga di JPJ sehinggalah kes ini diselesaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Shaharuddin, pihaknya hanya me­ngelolakan operasi kamera statik manakala kamera mudah alih di bawah tanggungjawab pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, tujuan pelaksa­naan Awas adalah untuk mendidik pengguna jalan raya memandu mengikut undang-undang ditetapkan.

“Jadi sekiranya kenderaan bergerak perlahan apabila melalui kawasan yang menempatkan kamera Awas membuktikan pelaksanaan sistem itu berkesan,” katanya.