Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an ditahan di sekitar bandar raya ini hingga pukul 4 pagi.

Pihaknya sudah menggerakkan pasukan siasatan untuk mengesan suspek berpandukan siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan di tempat kejadian. 

“Hasil siasatan, polis berjaya menahan sembilan lelaki dan lapan wanita termasuk pelaku utama bagi membantu siasatan hingga pagi tadi. 

“Kita percaya kejadian gaduh itu tercetus apabila kumpulan tersebut yang dalam keadaan mabuk berang setelah makanan yang dipesan lambat sampai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini sebentar tadi. 

Semalam, video berdurasi 4 minit 26 saat memaparkan insiden pergaduhan di sebuah kedai makan di Stulang Laut tular dalam laman sosial Facebook dan turut dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp. - UTUSAN ONLINE