Walaupun tanpa sebarang tauliah bagi perkhidmatan tersebut, dan menggunakan produk tidak berdaftar, gadis berusia awal 20-an itu berjaya menyakinkan orang ramai malah nenpunyai lebih 10,000 orang di Facebook dan instagram.

Bagaimanapun kegiatannya itu berjaya dikesan oleh Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan setelah menerima aduan orang ramai baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, gadis itu ditahan oleh penguat kuasa sewaktu merawat pelanggan di sebuah inap desa di Cukai, Kemaman pada 17 Mei lalu.

“Dalam serbuan pukul 10.30 pagi itu, sebanyak 16 produk suntikan dianggarkan bernilai lebih RM13,000 milik suspek turut telah dirampas,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, suspek yang mengikuti kursus kecantikan di sebuah Pusat Giat Mara telah menjalankan perkhidmatan secara bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang turut bertujuan untuk mengaburi mata pihak berkuasa

Tambahnya, suspek akan meminta bakal pelanggan yang biasanya terdiri daripada individu obses kecantikan membayar wang pendahuluan secara dalam talian sebelum melangsaikan pembayaran penuh sewaktu temujanji.

Katanya, suspek menawarkan pelbagai pakej suntikan antara Vitamin C, Putih Pinky, Advance, Extrame dan Highyway yang berharga antara RM200 hingga RM400 dengan campuran beberapa bahan bagi tujuan memutih dan mencerahkan kulit serta anti penuaan.

“Malah kesemua bahan yang dicampur dan dibancuh sendiri oleh suspek adalah mengikut resepi sendiri yang dibeli secara online.

“Difahamkan dia memperoleh pendapatan dianggarkan RM20,000 di setiap lokasi.

“Kesemua produk suntikan yang dirampas tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan jika sabil kesalahan boleh dikenakan denda RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Oleh itu beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan memastikan produk yang berdaftar kerana banyak implikasi dan terdedah kepada pelbagai risiko.

Dalam kejadian lain, katanya, pihak jabatan turut menjalankan operasi di beberapa premis di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Besut pada 15 Mei, 13 Jun dan 15 Jun lalu. Produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang dianggarkan bernilai RM230,000, dirampas.

Turut dirampas adalah beberapa kosmetik yang terkenal yang telah dibatalkan notifikasi kerana dikesan mengandungi bahan-bahan terlarang seperti merkuri, hydroguinone dan tretinion yang bukan sahaja boleh menghakis kulit bahkan boleh menyebabkan kanser dan kegururan janin. - UTUSAN ONLINE