Menurut portal berita Utusan Borneo, Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Martin Koo berkata, suspek, 39, ditahan semalam susulan laporan diterima daripada isteri suspek, 37, pada hari yang sama.

“Suami pengadu telah bertindak memarahi dan memukul mangsa, 16, dengan menggunakan batang penyapu dan kerusi kerana mangsa pulang lewat ke rumah di Jalan Kampung Nangka pada pukul 2 pagi kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Martin memberitahu, siasatan awal pihak polis mendapati suspek dalam keadaan khayal dan pengaruh dadah ketika kejadian.

“Mangsa merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik.

“Mangsa juga pernah dipukul oleh suspek sebelum ini dan suspek juga telah dijatuh hukuman penjara bersabit kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan sejak 25 September 2018 hingga 16 April tahun lepas,” jelasnya.

Martin berkata, mangsa dibawa oleh ibunya ke Klinik Kesihatan Sg. Bidut menggunakan ambulans sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan penyapu dan kerusi.

“Barang kes termasuk kerusi dan batang penyapu telah dirampas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE