Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, 1,148 batang gading gajah bernilai RM9.9 juta dan sisik tenggiling bernilai RM70.6 juta itu dirampas hasil pemeriksaan ke atas dua buah kontena yang diisytiharkan mengandungi kacang tanah pada 30 Ogos lepas.

"Gading gajah dan sisik tenggiling ini disyaki berasal dari Afrika dan telah melalui pelabuhan sebuah negara jiran sebelum masuk ke negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kastam negeri, Datuk Hamzah Sundang.

Menurut Subromaniam, berikutan rampasan berkenaan, seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun ditahan reman di bawah Seksyen 135(1)(A) Akta Kastam 1967 bagi membantu siasatan kerana disyaki mengimport barangan larangan.

Di bawah seksyen berkenaan, tertuduh boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, siasatan juga dibuat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang mana akaun individu dan syarikat yang disyaki akan dibekukan.

Ditanya mengenai lokasi asal dan destinasi kontena berkenaan, Subromaniam berkata, kontena berkenaan disyaki dibawa dari Nigeria namun telah singgah di pelabuhan 'paling sibuk' di sebuah negara jiran sebelum memasuki negara ini.

Menurutnya, disyaki destinasi akhir kontena berkenaan ialah China namun masih dalam siasatan Kastam.

"Apa yang memeranjatkan ialah kontena-kontena ini telah melalui sebuah pelabuhan di negara jiran. Tetapi Kastam Malaysia, kalau membawa barangan larangan, kita tidak akan berkompromi. Walaupun destinasi akhirnya bukan Malaysia tetapi kita akan mematahkan sebarang penyeludupan," katanya.

Justeru beliau berkata, Malaysia tidak boleh dianggap sebagai sebagai transit untuk penyeludupan barangan larangan sebaliknya perlu dilihat dari sudut lain iaitu kejayaan Kastam Malaysia mematahkan aktiviti itu meskipun ia telah melepasi pelabuhan sebuah negara jiran.

"Saya ingin memberi amaran kepada pihak-pihak sindiket. Jangan cuba guna pelabuhan di Malaysia untuk menyeludup terutamanya barangan larangan," katanya. - BERNAMA