Ismail, 43, yang merupakan Pengerusi Eksekutif Ismail Holdings Sdn. Bhd. berkata, menerusi laman media sosial, beliau dikatakan memonopoli urusan membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh tanpa mengikut prosedur ditetapkan oleh kerajaan sedangkan syarikatnya hanya menjalankan perniagaan dalam bidang pembangunan hartanah, pembinaan, stesen petrol, tekstil dan perdagangan.

Menurutnya, kejadian sama pernah berlaku pada 2015 dan beliau berjaya mengheret individu dan pihak yang terlibat memfitnahnya ke mahkamah dan menyaman mereka.

Walau bagaimanapun, jelasnya, beliau mendapati isu sama kembali tular dalam Facebook dan WhatsApp sejak Rabu lalu.

“Sehubungan itu, hari ini saya membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi, Selangor supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap penyebar fitnah ini.

“Saya dan syarikat saya tidak pernah sama sekali menjadi ejen membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh. Saya menafikan keseluruhan fakta tersebut. Semua kenyataan tersebut yang dimuatnaik dalam media sosial adalah rekaan semata-mata,” katanya kepada Utusan Online di sini, hari ini.

Ismail menambah, beliau berharap, penyebaran fitnah berkenaan dapat dihentikan segera kerana ia turut mengganggu keharmonian keluarganya.

“Isteri dan anak-anak saya turut menjadi mangsa apabila diejek oleh rakan-rakan mereka menyebabkan mereka trauma,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE