Majistret Muhammad Safuan Azhar mengeluarkan perintah reman tersebut sehingga 8 Ogos ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap ke­dua-dua individu yang masing-masing berusia 44 dan 29 tahun.

Kedua-dua suspek yang ditahan di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam disyaki terlibat menguruskan proses dokumentasi perjanjian jual beli di antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum dijual kepada FIC.

Menurut sumber, suspek-sus­pek yang disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 itu me­rupakan individu-individu yang berperanan dalam menyediakan dokumen dengan menerima bayaran mencecah belasan juta ringgit.

Dalam pada itu, Muhammad Safuan turut membenarkan pe­rintah reman terhadap bekas Ketua Pegawai FIC dilanjutkan sehingga 8 Ogos ini.

Suspek berkenaan sebelum ini direman selama empat hari bermula 1 Ogos lalu bagi membantu siasatan SPRM mengenai pembe­lian hotel tersebut.

Secara keseluruhannya, seorang lagi suspek iaitu bekas pegawai khas kepada bekas Pe­ngerusi Felda masih lagi direman sehingga esok.

Terdahulu, mahkamah sama membebaskan tiga pengarah sya­rikat yang direman berhubung siasatan SPRM terhadap pembelian hotel oleh FIC di Kuching, Sarawak, pada 2014.

Suspek yang berusia 57 tahun sebelum ini direman selama enam hari sejak 30 Julai lalu manakala dua lagi suspek yang masing-masing berumur 47 dan 51 tahun direman bermula 29 Julai lalu.

Ketiga-tiga suspek itu dibebaskan dengan jaminan tunai RM20,000 setiap seorang.

SPRM menyiasat pembelian hotel oleh FIC di London dan di Kuching, Sarawak berikutan harganya yang jauh lebih tinggi daripada harga asal mengakibatkan kerugian besar kepada syarikat berkenaan.