Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan daripada mana-mana pihak untuk mengesan kapal tersebut sebelum ini.

“Kita tidak ada terima sebarang panggilan sebelum ini daripada FBI mahupun Polis Indonesia berkaitan kapal tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini pagi tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Surat Serah Hak Pereka Cipta dan Perjanjian Pelesenan Pengkomersialan Produk Inovasi i-Smart Tactical Vest (i-STV).

Sebelum ini, kapal layar mewah milik Jho Low yang dipanggil Equanimity itu dirampas di Bali kerana dipercayai dibeli menggunakan dana yang didakwa diseleweng dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - UTUSAN ONLINE